Wednesday, January 28, 2009

Malaysian Football


This is the article that i've send to Ruangan Forum in Utusan Malaysia (still waiting for them to publish it) and I've also send it to TV3 (sport news) . Well, I hope that something can be done about my opinion (not only me, but most Malaysians).


FAM jangan meludah ke langit

Walaupun sudah banyak artikel dari orang ramai yang dihantar mengenai isu pembatalan pemain import di Liga Malaysia, saya mengambil keputusan untuk turut menghantar artikel yang diharap dapat membuka mata masyarakat dan pihak FAM khususnya mengenai masalah sebenarnya yang berlaku dan betapa seriusnya peminat bola sepak tempatan mahukan khidmat pemain import diteruskan.

Saya adalah peminat bola sepak tempatan. Walaupun saya menyukai Liga Inggeris dan Sepanyol, saya masih menonton perlawanan tempatan bersama rakan-rakan. Isu pembatalan pemain import pada musim ini memang sesuatu yang mengejutkan malah lebih mengejutkan lagi, alasan ini digunakan untuk meningkatkan mutu liga dan pemain tempatan.

Saya tertarik mengenai komen seorang bekas pemain kebangsaan yang sekarang hanya menjadi pemain simpanan. Beliau menyokong pembatalan pemain import dan mengatakan bahawa beliau mempunyai lebih peluang untuk beraksi. Mungkin ada yang menyokong pembatalan pemain import setelah mendengar hujah beliau tapi adakah orang ramai sedar bahawa ketiadaan pemain import membuatkan pemain tempatan mensia-siakan peluang yang ada tanpa perlu bersaing bersungguh-sungguh. Harus diingat pemain tempatan yang menjadi simpanan kerana sedikit ‘kurang hebat’ berbanding pemain import. Memang kenyataan ini agak ‘pedas’ tetapi haruslah diterima dengan terbuka oleh pemain dan peminat tempatan. Jangan salahkan pemain import yang hebat, tetapi salahkan diri sendiri yang tidak bersaing bersungguh-sungguh dengan mereka. Nanti senanglah hati mereka, main tidak seberapa tapi masih mendapat tempat.

Saya juga terkejut (dan juga ketawa) apabila ada yang mengatakan dengan ketiadaan pemain import, lebih ramai penyokong yang hadir kerana pemain import tidak dapat menarik kehadiran penonton. Pernahkan mereka ini bertanya, mampukah pemain tempatan sahaja menarik penonton hadir? Adakah aksi pemain tempatan sahaja boleh membantu pasukan mereka bermain dengan baik dan menarik? Cuba lihat pasukan yang lambat menggunakan pemain import. Sebelum mereka mangambil pemain import, adakah stadium mereka penuh? Dengarlah kata peminat tempatan, stadium penuh kerana permainan pasukan yang menarik yang dibantu dengan penglibatan pemain import yang bagus. Ada juga pihak yang mengatakan dengan ketiadaan pemain import, banyak duit dapat dijimatkan. Jika anda tidak mempunyai banyak duit, buat apa perlu bersusah-susah mengambil pemain import. Ia bukannya diwajibkan oleh FAM.

Juga dikatakan kehadiran pemain import lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Walaupan dikatakan lebih ‘banyak’ keburukan, tetapi sebesar manakah keburukan itu berbanding kebaikan yang besar yang boleh kita perolehi. Banyak dan besar sangatkah keburukan mereka, ataupun ini hanya agenda semata-mata untuk mengalih perhatian prestasi skuad kebangsaan sekarang. Pemain import ini dikatakan tidak mahu berkongsi pengalaman dengan pemain tempatan. Berapa ramaikah mereka yang bersikap begitu? Jika mereka tiada, pemain tempatan hanya belajar pengalaman yang sama yang mereka selalu lihat dari pemain tempatan, itupun jika ada pemain tempatan yang mahu berkongsi pengalaman kerana takut tempat di skuad kebangsaan diambil oleh orang lain pula. Pelik juga apabila ada yang menyalahkan pemain import dengan mengatakan mutu mereka tidak jauh beza dari pemain tempatan. Mengapa salahkan mereka? Sepatutnya menyalahkan diri sendiri yang mengambil pemain import tidak bermutu atau sekadar ‘tangkap muat’. Jika tiada duit, tidak perlulah ‘tamak’ sehingga mengambil 3 import. Ambillah seorang import yang benar-benar berkualiti.

Memang betul apa yang dikatakan oleh pakar luar dan jurulatih asing, bola sepak di Malaysia memang tidah pernah konsisten. Pihak atasan selalunya cuba mencari punca-punca luar untuk disalahkan dan kononnya cuba membuat perubahan. Mengapa hanya pentingkan kuantiti pemain tempatan sedangkan kualiti yang penting. Saya tidak terkejut jika selepas ini stadium akan lengang. Dan jika FAM terus ego dengan cadangan mereka, maka bertahun-tahunlah stadium akan lengang, pasukan kebangsaan dibelasah kerana hanya didedahkan dengan corak pemain tempatan, ranking dunia makin jatuh dan bola sepak tempatan terus diperlekehkan pihak luar kerana tindakan ‘memandang ke belakang’. Jika ada perlu membuat perubahan, cadangan dan kritikan peminat haruslah dikaji dengan ‘terbuka’ kerana yang memenuhi stadium adalah kami, bukannya orang lain. Pandangan peminat tempatan sebenarnya sangat penting. Diharapkan FAM membincangkan semula isu yang boleh dianggap serius oleh ramai peminat tempatan. Kami semua bersuara sebab kami sayangkan liga tempatan dan skuad kebangsaan. Saya sangat berharap pihak berkaitan mengambil perhatian dan kami semua akan melihat tindakan selanjutnya samada FAM prihatin dengan peminat tempatan atau tidak.

Sekarang saya tidak hairanlah jika ramai yang mahukan pihak-pihak atasan FAM meletak jawatan mereka,samada mereka baru dilantik atau telah tersangat lama memegang jawatan itu.

Tajul Fitri, Spg Durian, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment